MELALUI sendiri pengalaman wanita berhijab yang mempunyai masalah keguguran rambut terutama selepas bersalin anak ketiga, pelakon dan pengacara terkenal Datin Lisa Surihani kini muncul dengan produk penjagaan rambut di bawah jenamanya sendiri.
Melihat masalah yang dialaminya ini menjadi antara masalah biasa wanita mahupun lelaki, Lisa berkata, selepas beberapa siri kajian dia kini muncul dengan Suri.
Tidak sekadar mahu mencari keuntungan dalam perniagaan, prinsip Lisa untuk memastikan setiap produknya memberi manfaat buat pengguna. Cukup menghargai kerjasama yang dijalankan dengan Nori Malaysia Sdn Bhd, jelasnya dia tidak sangka pilihan untuk muncul dengan Suri diterima baik memandangkan sebelum ini rakan kerjasamanya itu lebih sinonim dengan produk wangian.
"Niat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan sebetulnya memang sudah ada, namun tanpa pengalaman mahupun panduan yang betul membuatkan saya tangguhkan dulu. Sampai saya muncul dengan Suri dan ketika itu saya turut menyuarakan impian untuk bekerjasama dengan Nori Malaysia. Pertemuan antara saya, Nori dan Michael mencapai kata sepakat.
"Lebih penting bagaimana kepercayaan yang diberikan Nori Malaysia turut membuatkan saya lebih bersemangat memandangkan kita tahu kebanyakkan rakan artis yang menjalinkan kerjasama dengan Nori lebih kepada produk wangian. Selain mempunyai rakan perniagaan yang berpengalaman saya turut bersyukur bantuan yang disalurkan Nori dalam memastikan produk Suri diterima pasaran dengan baik," katanya.
"Saya tidak rasa lambat untuk baru belajar selok-belok dunia perniagaan sebab saya yakin ini masa yang sesuai. Selain sokongan keluarga, bantuan yang diberikan Nori Malaysia juga membuatkan saya lebih berani membuat keputusan. Melalui perbincangan dan pertukaran pandangan kita tahu banyak yang perlu saya mahir, walaupun sekecil-kecil perkara, tetapi pertimbangan yang baik perlu dalam memastikan keputusan yang dibuat itu tepat. Selain itu, saya sentiasa mengambil maklum balas pengguna dalam memastikan produk Suri menepati keperluan mereka, Insya-Allah Suri juga akan mempunyai produk berbeza pada masa hadapan.
"Selain Shopee, produk Suri juga boleh didapati di laman web Nori dan 10 pasaraya Aeon antaranya MidValley, Taman Maluri, Bukit Tinggi, Cheras Selatan, Nilai, Seremban 2, bandar raya Melaka, Shah Alam, Tebrau City dan Bukit Indah. Kami juga dalam usaha memastikan Suri dapat dijual di farmasi pilihan," katanya.
Memilih nama Suri sebagai pengenalan buat perniagaannya, jelas Lisa selain lebih dekat dengan namanya, dia juga yakin Suri mudah diingati.
Sementara itu, bercakap mengenai pembabitan suaminya, Datuk Yusry Abdul Halim, Lisa tidak menolak banyak keputusan yang dibuat juga berdasarkan pandangan Yusry.
"Bila saya beritahu niat untuk memulakan perniagaan ini, suami menjadi penyokong pertama. Malah, bukan soal perniagaan sahaja, Yusry memang akan memberi saya semangat dalam apa juga yang saya lakukan sejak awal perkahwinan lagi. Bercakap mengenai Suri, memang dia sukakan bau produk ini selain turut bertanya sama ada dia juga boleh guna.
"Sebagai pengarah, tambahan idea khususnya dalam sudut yang lebih kreatif dia akan kongsikan bersama. Jujurnya perjalanan saya sebagai usahawan ini cukup indah sebab sokongan tidak berbelah bahagi daripada suami," katanya.
Mengakui suami dan anak sebagai keutamaan utama, menurut Lisa walaupun sibuk dengan tugas sebagai isteri dan ibu ketika ini, namun dia tidak pernah melupakan status sebagai anak seni. Masih aktif, cumanya dia yakin dalam tempoh ini pemilihan watak dan tugas itu perlu bagi mengimbangi tanggungjawab dirinya.
"Cinta saya terhadap bidang ini tidak pernah bernoktah. Bagi saya, seorang anak seni akan terus bergelar anak seni selamanya. Melihat keadaan semasa terutama selepas negara makin pulih dalam tempoh pandemik saya turut menerima tawaran.
"Buat masa ini lakonan memang ada cumanya kalau ikutkan saya lebih suka dunia pengacaraan. Saya yakin dengan rezeki Allah dalam bidang ini dan akan terus berada di sini selagi diperlukan," katanya.
Berkongsi lebih lanjut mengenai Suri, jelasnya syampu itu didatangkan dengan formulasi yang membantu mengatasi rambut bermasalah.
"Produk ini bukan sahaja sesuai untuk semua golongan, malah lebih penting bagaimana Suri juga memberi fokus untuk mendapatkan rambut yang lebih sihat. Sebagai salah seorang yang turut mengalami masalah rambut gugur, saya bertemu seorang pakar rambut C Michael of London. Perbincangan dengan beliau membawa kepada kewujudan Suri. Lebih penting saya mahu produk ini juga menepati keperluan pengguna.
"Ternyata pengalaman menjadi model iklan sejak berumur 11 tahun tidak memberi banyak kelebihan. Membawa jenama sendiri memerlukan lebih banyak proses, bermula dari pemilihan bahan dalam produk, malah bungkusan juga memerlukan keputusan sendiri. Jadi, melalui Suri adalah langkah awal saya dalam bidang perniagaan sebenarnya," katanya.